Enam sekeluarga sempat selamatkan diri sebelum rumah musnah dijilat api

ENAM sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Betong, Jalan Landeh awal pagi tadi namun berjaya menyelamatkan diri sebelum api marak.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.05 pagi itu, sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 600 kaki persegi musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.05 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan bantuan BBP Kota Sentosa serta BBP Batu Lintang ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba pada jam 4.30 pagi, komander operasi mendapati rumah terbabit sudah terbakar sepenuhnya.

“Kesemua enam penghuni yang terdiri daripada empat lelaki dewasa dan dua wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula serta satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan.

Katanya, sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran dan api berjaya dikawal pada jam 4.53 pagi.

“Tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 pagi selepas pemeriksaan lanjut mendapati tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img