PEMBANTU rumah warga Indonesia yang berdepan pertuduhan mendedahkan anak majikannya kepada kecederaan fizikal tahun lalu dibenarkan diikat jamin RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Madihah Zainol selepas mendengar hujahan pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, Yulia Arnida, 34.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin warga tempatan.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Daud Ismail yang dilantik Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) berkata, pihak pembelaan memohon jaminan diberikan selepas berjaya mengemukakan salinan surat perjalanan sementara yang dikeluarkan atas nama tertuduh.
Beliau turut memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu rumah dan tidak berdepan pertuduhan lebih berat.
Menurutnya, KJRI juga bersedia memantau tertuduh yang akan ditempatkan di lokasi perlindungan di bawah seliaan pihak berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin manakala barisan pembelaan turut diwakili peguam Jason Tan Ka Yan dan Hang Lee Ying.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pada 22 Jun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun kepada kecederaan fizikal ketika menjaga mangsa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat selain menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan lebam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor pada petang 21 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah tidak membenarkan jaminan selepas dimaklumkan tertuduh gagal memenuhi salah satu syarat kerana pasportnya berada di tangan pihak ketiga sebelum dokumen perjalanan sementara diperoleh daripada Kerajaan Indonesia.






