Bayi empat bulan antara 6 sekeluarga terselamat dalam kejadian kepala air

ENAM sekeluarga termasuk seorang bayi berusia empat bulan berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas fenomena kepala air menyebabkan sungai melimpah dan menenggelami kawasan Kampung Permatang Keramat, Yan hari ini.

Dalam kejadian itu, semua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Mohd Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi sebelum sepasukan enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Batu Hampar.

Menurutnya, maklumat awal yang diterima melalui talian NG999 memaklumkan limpahan air sungai telah membanjiri kawasan kampung dan menyebabkan beberapa penduduk terperangkap.

“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati berlaku fenomena kepala air yang menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan kampung.

“Kejadian itu mengakibatkan enam mangsa berusia antara empat bulan hingga 51 tahun terperangkap dan tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan dengan menggunakan sistem tali bagi membolehkan anggota bomba menyeberangi kawasan yang ditenggelami air dengan selamat.

Katanya, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada dua wanita berusia 37 dan 51 tahun, seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun serta seorang bayi lelaki berusia empat bulan.

“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.19 pagi selepas semua mangsa berjaya diselamatkan dan keadaan disahkan selamat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img