POLIS menahan 331 individu serta merampas nilai pertaruhan melebihi RM2.62 juta menerusi Op Soga XI yang dilaksanakan di seluruh negara bagi mengekang kegiatan perjudian dan pertaruhan haram sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi yang bermula 11 Jun lalu hingga 19 Julai depan itu memberi fokus kepada kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurutnya, sebanyak 293 serbuan dijalankan di seluruh negara dan membawa kepada penahanan 331 suspek terdiri daripada 312 lelaki dan 19 wanita yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram.
“Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 234 adalah warga tempatan manakala 97 lagi warga asing.
“Dalam operasi sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM145,005.09 selain merekodkan nilai pertaruhan sebanyak RM2,625,529.46,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemantauan sepanjang operasi turut mengenal pasti sebanyak 185 platform digital termasuk laman sesawang, aplikasi, media sosial dan saluran dalam talian yang digunakan untuk aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan perjudian.
Menurut Kumar, tindakan menyekat akses dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 serta Akta Imigresen 1959/63 mengikut kesalahan yang dilakukan.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Kumar berkata, PDRM akan terus mempergiat operasi dan memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membendung kegiatan perjudian haram yang kini semakin aktif menggunakan platform digital.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras sindiket pertaruhan haram di negara ini.






