MCMC sita 6,916 peranti komunikasi tidak diperakui bernilai RM2.06 juta

KEGIATAN penjualan kelengkapan komunikasi yang dipercayai tidak diperakui serta tidak mematuhi piawaian teknikal terbongkar selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita 6,916 unit peralatan bernilai RM2.06 juta menerusi Op V380.

Operasi yang dijalankan pada 24 Jun lalu menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan dan pemilikan kelengkapan komunikasi bagi tujuan jualan tanpa mematuhi standard teknikal yang ditetapkan.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara peralatan yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV), selain komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi bagi membantu siasatan.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan melalui kerjasama strategik antara MCMC dan SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku agensi pemerakuan berdaftar.

“Seramai 44 pegawai terbabit dalam serbuan yang dijalankan serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.

“Siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi terbabit ditawarkan dan dijual menerusi platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Katanya, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna selain berpotensi mengganggu prestasi peranti, kebolehpercayaan perkhidmatan serta rangkaian komunikasi negara.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” tambah kenyataan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img