KEGIATAN sepasang suami isteri yang dipercayai menjadikan rumah kediaman sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula dadah terbongkar selepas diberkas dalam serbuan polis di daerah Kulai, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.50 pagi itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama isterinya berusia 34 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 26.94 kilogram bernilai kira-kira RM3.59 juta.
“Kita merampas 16 paket plastik disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 21,766 gram, 44 paket plastik mengandungi 1,888 gram serbuk ekstasi, 1,621 biji pil ekstasi seberat 570 gram, 6,400 biji pil Erimin 5 serta tiga paket ketamin.
“Jumlah rampasan itu dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 90,277 penagih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek berperanan aktif sebagai pengedar dan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal Januari lalu.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menggunakan rumah kediaman sebagai stor simpanan sebelum dadah dibungkus semula untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine manakala isterinya negatif.
“Semakan turut mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Menurut beliau, polis turut menyita tiga kenderaan, wang tunai berjumlah RM25,000 serta pelbagai barang kemas dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM206,752.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.






