Tok Mat gesa BN bina kekuatan sendiri, jangan harap ihsan pihak lain

BARISAN Nasional (BN) perlu terus membina kekuatan sendiri dan tidak boleh bergantung kepada ihsan mana-mana pihak untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap parti politik perlu mempunyai kekuatan sendiri kerana hanya parti yang kukuh akan mendapat keyakinan rakyat dan menarik sokongan pihak lain.

DATUK Seri Mohamad Hasan bersama penyokong Barisan Nasional pada majlis amanat kepada jentera BN DUN Serom, di Taman Tanjung Gading, Tangkak hari ini

Bagaimanapun beliau berkata, parti itu tidak menolak sekiranya ada pihak yang sudi untuk membantu dari segi undi kepada calon BN dengan ikhlas.

“Kalau benar ada pihak yang mahu membantu dan memberikan sokongan kepada calon BN secara ikhlas, kita ucapkan terima kasih. Tetapi seperti yang saya sebut sebelum ini, kita perlu membina kekuatan sendiri dahulu, dalam politik kita tidak boleh terlalu bergantung kepada ihsan orang lain.

“Apabila kita kuat, orang lain pula akan datang membantu kita (kerana) tiada siapa yang mahu membantu orang yang sedang lemas,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, di Taman Tanjung Gading, Tangkak hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdull Rahim Talib serta calon BN bagi kerusi DUN berkenaan, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN mengulas kenyataan Pas yang mencadangkan penyokong dan pengundi Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu supaya mengundi calon BN pada PRN Johor.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Luar berkata, walaupun menghargai sokongan yang diberikan, ia tidak bermaksud wujud kerjasama politik antara BN dan Pas.

Beliau menegaskan, BN sejak awal lagi sudah menetapkan pendirian untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor tanpa sebarang rundingan dengan mana-mana parti.

“Dakwaan kononnya wujud persefahaman atau kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak benar dan tidak pernah menjadi perancangan kami.

“Kami sudah menjelaskan sejak awal bahawa BN akan bertanding di semua 56 kerusi, jadi tidak timbul soal kerjasama politik,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img