PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dakwaan kononnya terdapat negeri yang dianaktirikan dalam agihan peruntukan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas.
Katanya, semua negeri menerima peruntukan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini, berdasarkan keperluan pembangunan dan bukannya jumlah hasil cukai yang dikutip.
“Semua negeri menerima peruntukan yang lebih daripada sebelumnya. Kita pertahankan keputusan ini berdasarkan keperluan yang mendesak seperti pembasmian kemiskinan, menaik taraf kemudahan infrastruktur, sekolah dan sebagainya, tidak benar sama sekali tohmahan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, hanya Selangor dan Pulau Pinang mencatat kutipan hasil cukai yang melebihi nilai peruntukan Persekutuan kerana faktor kedudukan ekonomi yang strategik, manakala kebanyakan negeri lain menerima peruntukan yang jauh lebih tinggi daripada hasil yang disumbangkan.
“Untuk purata hasil cukai Selangor tahun 2023 hingga 2025 adalah RM43.6 bilion yang dibelanjakan untuk Selangor pada waktu yang sama adalah RM15 bilion peruntukan kerajaan persekutuan.
“Untuk Pulau Pinang, purata hasil yang diperolehi oleh kerajaan persekutuan 2023 hingga 2025 adalah RM10.7 billion. Perbelanjaan adalah RM7.9 billion,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi.
Anwar berkata, kerajaan juga menambah pelbagai bentuk bantuan kepada negeri termasuk Ecological Fiscal Transfer dan Capitation Grant bagi memperkukuh pembangunan di seluruh negara.
Menjawab soalan tambahan berhubung pemberian khas kepada Sarawak, Anwar memaklumkan, Kerajaan Sarawak layak menerima bayaran interim khas seperti dinikmati kerajaan Sabah, selari persefahaman dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita masih meneruskan rundingan dengan Sarawak dan dalam perundingan terkini dengan Premier baru-baru ini di Bintulu dan di Kuching.
“Memang kita tidak umumkan kerana kita nak beri tumpuan kepada RM1.8 bilion diberikan kepada Kerajaan Persekutuan dan saya telah memberi jaminan rundingan diteruskan dan memang wajar diberi peningkatan berdasarkan semangat perjanjian MA63,”katanya.






