Seorang pemandu lori maut manakala rakannya cedera selepas lori lapan tan yang dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Kampung Paris 2, Kinabatangan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Juldam Mangkalial, 48, ditemukan tersepit di bawah lori sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialami.
Penumpang lelaki berusia 43 tahun pula mengalami kecederaan dan diberikan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.16 pagi sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.
Menurutnya, operasi dijalankan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap selepas lori terbabit terbabas.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu yang tersepit pula dikeluarkan menggunakan peralatan khas dengan bantuan sebuah jengkaut untuk mengangkat bahagian hadapan lori yang menghempap mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 7.30 pagi selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi selamat.






