Ibu tunggal didakwa miliki bahan lucah, sebar gambar bogel disunting

SEORANG ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan membabitkan pemilikan bahan lucah dalam telefon bimbit dan penyebaran gambar bogel yang disunting di media sosial, Jun lalu.

Tertuduh, T V Pavithra, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan lucah dalam sebuah telefon bimbit miliknya di sebuah kondominium di Kota Laksamana Jaya, Melaka Tengah, kira-kira jam 6.15 petang pada 28 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat menggunakan kemudahan komunikasi menerusi media sosial untuk menyebarkan gambar bogel yang telah diubah suai milik seorang wanita di sebuah alamat di Melaka Raya, Melaka Tengah, kira-kira jam 11 malam pada 24 Jun lalu.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada mangsa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif yang memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa, ahli keluarga mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal kepada seorang anak, menjalankan perniagaan dalam talian dengan pendapatan tidak tetap sekitar RM2,000 sebulan.

Beliau turut memaklumkan anak tertuduh berada di bawah jagaan bekas suami, manakala tertuduh perlu menjaga ibunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal serta adiknya yang mengalami masalah kesihatan mental.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Ogos depan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img