Guru didakwa baling pemadam papan putih hingga bawah mata murid lebam

SEORANG guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun dengan membaling pemadam papan putih dalam kejadian di sebuah sekolah kebangsaan di Tongkang Pecah, April lalu.

Tertuduh, Fakhriah Bustani, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap murid terbabit di sebuah sekolah kebangsaan di Tongkang Pecah kira-kira jam 9 pagi pada 1 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes, mangsa pulang ke rumah selepas kejadian dan memaklumkan kepada keluarganya bahawa seorang guru membaling pemadam papan putih ke arahnya sehingga terkena berhampiran mata.

Siasatan polis mendapati tertuduh dipercayai bertindak demikian kerana mendakwa mangsa tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, yang kemudian disahkan melalui pemeriksaan pegawai perubatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img