KEGIATAN menyimpan dan membekalkan rokok tidak bercukai kastam di sekitar bandar raya Johor Bahru terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah di Taman Daya dan merampas 312,000 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM769,480, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, tiga warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.
Operasi dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama pegawai serta anggota Cawangan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, mereka yang ditahan ialah dua lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia 26 dan 49 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 51 tahun.
Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu menemukan 312,000 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai kastam dan disimpan di dalam rumah serta sebuah kenderaan.
“Polis turut menyita sebuah kereta Proton Exora dan satu rangkai anak kunci bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM769,480,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, operasi itu berjaya memutuskan rangkaian penyimpanan dan pembekalan rokok tidak bercukai kastam di sekitar Johor Bahru.
“Usaha mengesan dalang utama sindiket masih diteruskan dan operasi penguatkuasaan akan dipergiatkan dari semasa ke semasa,” katanya.






