KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas sejumlah 10,500 helai jersi bola sepak tiruan gred pertengahan dengan nilai keseluruhan RM375,000 dalam serbuan di sebuah bengkel besi, di ibu negara hari ini.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 petang di premis yang disewa sekitar RM2,000 sebulan itu menemukan sebuah stor simpanan yang dijadikan lokasi penjualan jersi tiruan, yang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Sabri Seman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan siasatan KPDN selama seminggu dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.
“Premis ini dijadikan sebagai stor penyimpanan serta pusat operasi bagi melakukan aktiviti jualan secara langsung di media sosial dan pembungkusan untuk dipos terus kepada pembeli.
“Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan jersi berkenaan dari China pada harga kos sekitar RM6 sebelum ia dijual semula kepada pengguna dan peniaga kecil secara dalam talian pada harga RM30 hingga RM50 sehelai,” katanya dalam sidang media selepas operasi tersebut.
Sabri berkata, dalam serbuan itu tiga pekerja tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan selain KPDN giat mengesan pemilik sebenar premis serta dalang utama aktiviti itu.
Beliau memberitahu, aktiviti penguatkuasaan dipergiat berikutan trend peningkatan penjualan jersi bola sepak tidak sah sempena musim kejohanan Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung ketika ini.
“KPDN memandang serius aktiviti ini dan tindakan tegas tidak hanya terhad pada musim sukan tertentu sahaja kerana penjualan barangan tiruan bukan sahaja mencabuli hak pemilik cap dagang, malah mengelirukan pengguna serta memberi implikasi negatif terhadap ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kesemua barangan yang disita akan dibawa ke stor simpanan eksklusif untuk proses pengesahan rasmi oleh pemilik cap dagang sebelum tindakan lanjut diambil.





