PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggunakan isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai ‘tidak cerdik’.
Beliau berkata, projek berkenaan adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan yang sedang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Soal nak turunkan tanda tangan itu, ia antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura. Ia belum (sampai ke tahap) Menteri Besar lagi. Jadi tak payah jadikan isu, sehingga kini projek sedang berjalan dengan belanja yang tinggi serta turut menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat.
“Sudah la tak berterima kasih, dia (gunakan isu) masa kempen untuk mencela, ini tidak kena dan tak cerdik,” katanya kepada wartawan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Onn Hafiz meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman JS-SEZ bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh.
Pengerusi BN Johor itu berkata pelan induk berkenaan sudah siap dan tidak wajar terus ditangguhkan kerana ia penting dalam memberi kepastian kepada pelabur serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, pelan itu pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025 sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 30 Mac lalu, namun sekali lagi ditangguhkan.






