PH tekad pastikan Johor ada banyak peluang pekerjaan – Amirudin

PAKATAN Harapan (PH) bertekad menjadikan Johor sebagai negeri yang memiliki kuasa ekonomi yang kuat dan tidak lagi menjadi wilayah yang dianggap penyokong atau ‘feeder’ kepada Singapura.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan Johor selepas ini perlu direncana dengan matlamat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti supaya rakyat negeri ini tidak perlu ke negara jiran mencari rezeki.

Beliau berkata, Johor mesti menjadi sebuah negeri yang berupaya menjana peluang, bakat serta kekayaan sendiri.

“Rakyat tempatan tidak perlu beratus-ratus ribu menyeberang tambak setiap hari untuk mencari rezeki. Kita akan pastikan Johor cukup untuk orang Johor dan orang Malaysia bekerja dengan pendapatan yang tinggi,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Manifesto PH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Johor Bharu hari ini, lapor Buletin TV3.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, Johor mampu berdiri dengan kukuh, selain berpotensi muncul antara pusat pertumbuhan paling penting di Asia Tenggara jika kekuatan negeri dan Persekutuan dapat digabungkan secara berkesan.

“Kalau orang lihat Malaysia daripada Singapura, dia datang ke Singapura, bila dia seberang tambak, dia kata Malaysia ini hebat kerana nampak Johor ini hebat. Johor ini hebat sebagai lambang kejayaan dan kemuliaan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata falsafah pembangunan PH untuk Johor juga nanti, mesti memastikan pertumbuhan ekonomi diagihkan secara lebih adil ke seluruh negeri.

“Johor yang adil kepada semua, pembangunan ekonomi yang adil kepada semua. Bangunkan setiap lokaliti dan daerah,” katanya.

Beliau turut mengakui beberapa projek strategik yang sedang dilaksana, berupaya mengubah landskap ekonomi negeri itu termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid (RTS) Link serta usaha pemulihan Forest City sudah mewujudkan momentum pertumbuhan positif.

Namun katanya, manfaat pembangunan itu perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peningkatan pendapatan rakyat di seluruh Johor, bukan hanya tertumpu di kawasan selatan negeri.

“Menteri Besar kita (PH) nanti adalah Menteri Besar untuk semua DUN. Menteri Besar untuk semua daerah yang kita nak bangunkan. Johor Utara akan kita perkasakan. Johor Tengah akan kita hebatkan. Johor Selatan kita akan perkasakan,” katanya.

Amirudin berkata, biarpun Johor Bahru merekodkan purata pendapatan yang lebih tinggi, beberapa kawasan lain termasuk daerah Mersing dan pekan Benut masih mencatatkan pendapatan jauh lebih rendah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img