2 pemandu positif dadah kena pukat di Plaza Tol Gombak

DUA pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah menerusi Operasi Bersepadu Dadah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan selain meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, pemeriksaan tertumpu kepada pemandu lori dan bas, termasuk pematuhan terhadap lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Vokasional (PSV/GDL), perlindungan insurans, syarat permit serta keadaan teknikal kenderaan.

“Seramai 59 anggota daripada empat agensi terbabit menyertai operasi itu dengan sebanyak 228 kenderaan perdagangan diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 43 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan berkaitan, manakala 75 notis dikeluarkan serta sebuah bas henti-henti disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, AADK menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 74 pemandu dan mendapati dua individu positif dadah jenis methamphetamine (Meth) dan ganja.

“Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tujuan ujian serta siasatan lanjut,” ujarnya.

JPJ memaklumkan, sekiranya kedua-dua individu itu disahkan sebagai penagih dadah mengikut proses perundangan, tindakan menggantung lesen memandu akan diambil di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Individu yang didapati positif itu masing-masing ialah seorang pemandu lori timber jinker dan seorang pemandu kereta sewa pandu berusia 31 serta 41 tahun.

“Dalam operasi sama, MOTAC turut memeriksa 36 kenderaan pelancongan dan mengesan satu kes membabitkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong yang kini disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992,” katanya.

JPJ WPKL menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pemandu dan syarikat pengangkutan mematuhi undang-undang sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img