Aksi pelik pemandu selepas nahas, rupa-rupanya ada rekod rawatan psikiatri

AKSI seorang pemandu yang berlari, berguling dan berbaring di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, semalam, dipercayai berkait dengan masalah kesihatan apabila individu itu disahkan mempunyai rekod rawatan psikiatri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah Proton X90 dipandu jurutera tempatan berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Larkin menghala ke Johor Bahru Sentral.

“Ketika kenderaan itu bergerak perlahan untuk membuat pusingan U di Jalan Lingkaran Dalam, sebuah Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dari arah belakang telah merempuhnya.

“Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejurus selepas kemalangan, pemandu Perodua Myvi bertindak agresif dengan berlari, berpusing di sekeliling kenderaannya serta berbaring di atas jalan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu Proton X90 kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Azrul Hisham berkata, hasil semakan mendapati pemandu Perodua Myvi mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri di Klinik Psikiatri Hospital Kluang.

“Maklumat daripada waris memaklumkan individu terbabit mempunyai sejarah rawatan psikiatri dan semakan dengan pihak klinik mengesahkan dia menerima rawatan sejak April 2025 hingga kini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan hadir ke IPD Johor Bahru Selatan atau menghubungi talian 07-2221722.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img