AWAL pagi ini (waktu Malaysia) perlawanan antara Argentina dan Cabo Verde telah berakhir, dengan penjaga gol Cabo Verde, Vozinha, sekali lagi mempamerkan aksi yang dianggap luar biasa pada Piala Dunia 2026.
Menurut statistik penuh perlawanan, Vozinha melakukan lapan (8) aksi menyelamat yang berkesan.
Empat (4) daripadanya berjaya menafikan percubaan berbahaya daripada Lionel Messi, termasuk situasi satu lawan satu dan satu sepakan percuma lencong berkualiti tinggi, sekali gus berulang kali menggagalkan Argentina daripada menjaringkan gol yang kelihatan hampir pasti.
Selain itu, Vozinha turut berjaya melengkapkan ketiga-tiga percubaan keluar mencabar bola, menyempurnakan lapan daripada 18 hantaran jauh, melakukan satu gelecek yang berjaya, serta dikasari sebanyak dua kali.
Sementara itu, bekas bintang bolasepak Sweden Zlatan Ibrahimović dilaporkan berkata:
“Ya, ini akan menjadi sebuah kisah yang akan dikenang sepanjang zaman. Walaupun mereka tidak memenangi Piala Dunia FIFA, pengalaman itu sendiri sudah cukup menyentuh hati.
‘’Berbanding kegemilangan menjulang kejuaraan, kisah-kisah pasukan bukan pilihan yang penuh inspirasi seperti ini selalunya meninggalkan kesan yang lebih berkekalan. Perjalanan Cape Verde dalam Piala Dunia FIFA kali ini sendiri sudah menjadi satu detik bersejarah.”
“Siapa sangka mereka mampu beraksi sebegini? Pasukan dari negara yang mempunyai keluasan wilayah paling kecil dalam kalangan peserta Piala Dunia FIFA ini berjaya melepasi pusingan kelayakan dalam penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia.
‘’Mereka berdepan Sepanyol, Uruguay dan Argentina, tiga kuasa besar bola sepak dunia, dan mempamerkan permainan yang bermaruah sepanjang kejohanan. Dalam perlawanan hari ini, mereka bermain secara terbuka, berani dan tanpa rasa gentar. Malah, pada pandangan saya, mereka bermain lebih baik daripada Argentina, dan saya benar-benar bersetuju dengan perkara itu.”






