‘’Anda penjaga gol hebat’’ – Messi peluk Vozinha beri pujian,hadiahkan jersi

BINTANG Argentina, Lionel Messi, memuji penjaga gol Cape Verde, Vozinha, selepas aksi cemerlang pemain veteran itu hampir menafikan kemenangan juara bertahan berkenaan dalam perlawanan sengit pusingan 32 terbaik Piala Dunia yang berkesudahan 3-2.

Walaupun bolos tiga gol, Vozinha, 40, menjadi benteng utama Cape Verde dengan beberapa siri penyelamatan penting yang memastikan perlawanan kekal sengit sehingga masa tambahan.

Selepas tamat perlawanan di Stadium Hard Rock, Miami, Messi menghampiri Vozinha dan menyampaikan pujian secara peribadi.

“Saya mendekatinya dan sebelum sempat saya berkata apa-apa, dia terus memeluk saya serta berkata, anda penjaga gol yang hebat. Rakyat anda pasti bangga dengan anda,'” kata Vozinha kepada media.

“Saya sangat terharu mendengarnya daripada seseorang seperti Leo. Saya ucap terima kasih dan minta jersi perlawanan, dia tersenyum dan berkata akan memberikannya di laluan bilik persalinan. Detik seperti ini akan saya ingat sepanjang hidup,” tambahnya.

Pemain dan pegawai CapecVerde gembira bergambar beramai-ramai selepas perlawanan terakhir mereka di Piala Dunia. Walaupun tewas pasukan itu mendapat pujian seluruh dunia.

Vozinha yang berusia 40 tahun, tampil antara watak utama kejohanan apabila mencatat 18 penyelamatan keseluruhan sepanjang kempen Cape Verde, termasuk aksi memukau ketika seri 0-0 menentang Sepanyol dan lapan penyelamatan ketika menentang Argentina.

Meskipun tewas, dia tetap berasa bangga terhadap pencapaian pasukan yang berjaya melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati.

“Ia persembahan yang hebat. Keputusan memang mengecewakan, tetapi kami perlu bangga dengan apa yang dicapai. Kami ada pasukan yang hebat, penuh kualiti. Bola sepak memang begitu,” katanya.

Cape Verde sebelum itu mencipta kejutan besar apabila mengikat Sepanyol dan Uruguay dalam kejohanan berkenaan sebelum memberi tentangan sengit kepada Argentina sehingga masa tambahan.

Daripada pasukan dianggap kerdil, kemaraan Cape Verde ke pusingan 32 dianggap antara kisah paling menarik Piala Dunia 2026.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img