YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 kepada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Sultan Sallehuddin dirahmati, diberi kebahagiaan dan dilanjutkan usia oleh Allah SWT.
“Semoga Allah SWT merahmati baginda dengan kebahagiaan dan melanjutkan usia baginda,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar Sultan Sallehuddin, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-84, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
“Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, di samping berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.






