Kelemahan pentadbiran diperbaiki tetapi tegas tolak rasuah – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya ada kelemahan yang dibaiki dari semasa ke semasa tetapi tetap tegas menolak rasuah.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kelemahan dalam pentadbirannya diperbaiki secara berperingkat demi kepentingan rakyat.

“Orang kata Anwar banyak juga tak betul (mentadbir). Saya setuju, tapi kita baik pulih perlahan-lahan. Tapi saya nak beritahu, saya tak bagi you (anda) curi (menyeleweng), sama ada you menteri, ada kuasa kita tendang (gugurkan) you keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama PMX di DUN Senggarang di Batu Pahat hari ini.

Yang turut hadir, tiga calon PH tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Felicia Poh Rui Ling (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang) dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, setiap rakyat mempunyai kuasa yang sama melalui undi tanpa mengira latar belakang atau kedudukan ekonomi.

“Orang gaji kecil, tak ada kereta, naik motosikal, rumah kecil, tetapi kuasa saudara sama seperti orang kaya dan tauke besar. Kuasa itu ialah undi.

“Gunakan undi supaya ada perubahan dalam negara kita,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan pentadbirannya tidak akan melindungi mana-mana menteri atau pemimpin yang terpalit dengan skandal rasuah.

Katanya, amalan rasuah oleh pemimpin pada masa lalu menyebabkan negara kerugian besar, sedangkan rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup.

Anwar juga menyeru pengundi Johor supaya memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negeri berkenaan bagi membawa perubahan lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat dan tadbir urus yang bersih.

Beliau berkata Johor perlu mempunyai kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya agenda pembangunan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri berkata walaupun Johor menerima banyak projek pembangunan bernilai berbilion ringgit, masih terdapat isu asas rakyat yang perlu diberi perhatian termasuk perumahan, jalan, masjid, surau, rumah ibadat serta bantuan kepada golongan memerlukan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img