PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi di Johor memberi peluang kepada gabungan itu mentadbir negeri memandangkan masih terdapat banyak masalah dan isu rakyat gagal diselesaikan.
Perdana Menteri berkata, Johor yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mengetepikan kepentingan rakyat termasuk harga rumah semakin mahal.
“Kerajaan Persekutuan kita jaga…kerajaan mereka (Johor) kita jaga…projek pembangunan dah banyak di Johor, tetapi isu rakyat belum selesai.
“Saya tengok di Johor, pegawai kerajaan, polis dan tentera tapi rumah tiada sedangkan pembangunan naik berbilion ringgit.
“Rumah rakyat mahal, ini tugas kerajaan negeri tapi tak buat. Jadi saya kena masuk campur minta kerajaan negeri bersama PH (Pakatan Harapan), kita boleh bangunkan rumah rakyat.
“Kita kena ada tadbir urus yang baik supaya Johor bertukar jadi lebih baik demi kepentingan rakyat. Anda dapat STR (Sumbangan Tunai Rahmah)…SARA (Sumbangan Asas Rahmah) tapi kena beratur tak?” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama PMX DUN Senggarang di Batu Pahat hari ini.
Yang turut hadir, tiga calon PH tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Felicia Poh Rui Ling (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang) dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).
Justeru Anwar yang juga Presiden PKR meminta semua pengundi di Johor bersedia membawa perubahan memandangkan hanya dengan cara itu mampu memberi peluang kepada PH mentadbir negeri.
“Saya tak boleh (ubah)..saya boleh kerja kuat, boleh tolong rakyat…boleh henti orang curi duit, sekarang yang curi pun diangkat (jadi pemimpin).
“Ada saya ambil tanah? Ambil projek? Tidak. Kita mahu jaga Johor kerana negeri ini bukan miskin, negeri kaya tapi rakyat ramai miskin.
“Kita selesaikan masalah rakyat…lebuh raya kita selesai, tapi soal rakyat rumah dia makan minum bantuan patut kita perlu bantu.
“Sebab itu kata negeri ini kena sama dengan Persekutuan, beri peluang kepada PH untuk mentadbir, kita bawa perubahan.
“Saya datang berkempen kerana saya percaya negeri ini boleh jadi lebih baik. Johor kadang-kadang bukan sahaja rumah ibadat, masjid surau pun ada yang masalah.
“Jalan pula tanggungjawab negeri…yang tanggungjawab Persekutuan kita dah buat berpuluh-puluh billion,” katanya.
Anwar berkata, oleh demikian rakyat perlu mengangkat pemimpin pandai dan berani bagi membolehkan Malaysia selamat serta sayang kepada kaum di negara ini.






