PM akan runding dengan China, luaskan pasaran berikutan kejatuhan harga durian

NASIB pekebun durian yang berdepan kejatuhan harga susulan musim raja buah itu yang berlaku hampir serentak di Semenanjung mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji membawa isu itu ke meja rundingan bersama rakan sejawatnya dari China, Li Qiang bulan depan.

Anwar berkata, usaha itu bertujuan mencari jalan memperluas akses pasaran durian Malaysia ke China, sekali gus membantu meningkatkan permintaan dan menstabilkan harga yang ketika ini menjejaskan pendapatan pekebun.

“Baik, saya janji satu perkara… Li Qiang itu Perdana Menteri (China) kawan baik (saya)… saya akan ke China bulan depan dan saya mahu bawa durian sebab saya tengok harga jatuh.

“China punya standard tinggi, tinggi sangat tapi saya (akan cuba) runding,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Tangkak malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh serta calon PH bagi DUN Gambir Mohd Nor Mohd Yusof.

Anwar berkata, hubungan baik Malaysia dan China perlu dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang dagangan yang akhirnya memberi manfaat kepada pengusaha serta pekebun tempatan khususnya ketika berdepan lambakan hasil.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Malaysia kekal sebagai antara negara yang menawarkan harga bahan api pada kadar terendah kepada rakyat hasil langkah intervensi kerajaan meskipun harga minyak dunia berdepan tekanan susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Kewangan itu berkata, konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat memberi tekanan kepada harga minyak berdasarkan prinsip ekonomi dan gangguan bekalan namun kerajaan memilih untuk terus melindungi rakyat daripada kesan kenaikan tersebut.

“Tak ada negara di dunia harga minyak turun macam Malaysia… Malaysia satu-satunya negara harga minyak paling rendah di dunia… bukan senang (nak turunkan harga bahan api)… kita (Kabinet) bincang sebab saya tak sampai hati (harga bahan api meningkat).

“Kalau ikut ekonomi, ikut hukum ataupun dasar, dasar ekonomi, harga minyak mesti naik tetapi rakyat bagaimana? Sebab itu, saya tak setuju harga naik, minyak naik (dan) kita turunkan,” kata beliau.

Harga runcit semasa untuk bahan api di Malaysia dari 1 hingga 8 Julai ditetapkan pada RM3.37 seliter bagi RON97 dan diesel berharga RM3.97 seliter namun rakyat menerima kadar lebih rendah iaitu RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img