PRN Johor: Anwar perhebat momentum kempen PH, jadual padat dari pagi hingga malam

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengajak pengundi Johor, termasuk yang menetap di luar negeri itu dan Singapura pulang menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Sabtu ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut memohon pengundi memberi mandat kepada calon gabungan berkenaan yang berintegriti, amanah serta bekerja untuk semua tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“Ketika (program) Malam Anak Muda Kempas, Pulai di Johor, saya menyeru seluruh rakyat Johor, termasuk yang berada di Singapura, Kuala Lumpur dan di mana-mana jua supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai ini.

“Johor memerlukan barisan kepemimpinan yang bukan sekadar pandai berjanji, tetapi berani bekerja, menyelesaikan masalah dan membawa negeri ini terus maju,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Anwar dilapor memperhebat momentum kempen PRN Johor menerusi siri jelajah padat dengan lapan program di kawasan utara negeri itu bagi memperkukuh sokongan rakyat terhadap calon serta jentera PH.

Hari ini, siri jelajah Perdana Menteri membawa beliau menyantuni pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Senggarang, Semerah, Bukit Naning, Pemanis, Gambir, Serom serta di kawasan Palong Timur di bawah DUN Buloh Kasap.

Anwar memulakan agenda seawal 8.45 pagi menerusi program ‘PMX Santai Sarapan Bersama Masyarakat DUN Layang-Layang’ di Warung Pak Din, Kampung Sahri, di Simpang Renggam sebelum dijadual menghadiri Majlis Ramah Mesra di DUN Senggarang di Batu Pahat pada 10 pagi.

Beliau seterusnya dijadual menyertai Kenduri Rakyat di Vila Kemboja, Semerah di Batu Pahat pada 11 pagi diikuti program ‘Temu Anwar’ serta Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning di sebuah restoran di Muar pada 12.15 tengah hari.

Pada sebelah petang, Anwar dijadual menghadiri Jelajah Harapan Felda Bersama PMX di Dataran Putra Palong Timur 2 pada 3.10 petang, diikuti Sesi Ramah Mesra Bersama PMX DUN Pemanis di Kampung Jawa, DUN Pemanis, di Segamat pada 5 petang.

Siri jelajah itu diteruskan pada sebelah malam dengan Sesi Ramah Mesra Bersama PMX DUN Gambir di Medan Selera Sin Tian Di, Bukit Gambir pada 8 malam.

Ahli Parlimen Tambun itu dijadual mengakhiri program menerusi Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di pekarangan Pasaraya Mega, Sungai Mati di Tangkak pada 9 malam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img