KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia FIFA 2026 merupakan penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia bersama negaranya. Namun, beliau menegaskan bahawa keputusan itu bukan bermakna akan bersara daripada bola sepak antarabangsa.
Ronaldo kini sedang mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, satu pencapaian yang turut dikongsi bersama Lionel Messi, dengan Messi menjadi pemain pertama mencapai rekod tersebut.
Dalam kemenangan dramatik Portugal 2-1 ke atas Croatia di pusingan 16 terbaik, Ronaldo turut mencipta satu lagi rekod apabila menjadi pemain pertama berusia 41 tahun atau lebih yang beraksi di peringkat kalah mati Piala Dunia.
Beliau menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan buat Portugal. Ia merupakan gol ketiganya dalam kejohanan kali ini, selain menjadi gol pertamanya di peringkat kalah mati Piala Dunia selepas 31 percubaan sepanjang kariernya.
Sepanjang Piala Dunia 2026, Ronaldo terus memecahkan pelbagai rekod. Beliau menjadi pemain pertama dalam sejarah yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia berbeza, selain kini mengumpul 10 gol keseluruhan di Piala Dunia, sekali gus mengatasi legenda Portugal, Eusébio, yang menjaringkan sembilan gol.
Menjelang pertembungan Portugal dengan Sepanyol di pusingan 16 terbaik di Dallas esok Ronaldo mengesahkan bahawa ini merupakan penampilan terakhirnya di kejohanan tersebut.
“Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Mari kita nikmatinya,” katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada keputusan itu bermaksud beliau akan bersara daripada skuad kebangsaan, Ronaldo memberikan jawapan tegas.
“Saya akan bersara apabila saya mahu, bukan apabila kamu mahu. Sama ada saya bermain atau berada di bangku simpanan, pengaruh saya tidak akan berubah. Saya bukan lagi pemain seperti dahulu, tetapi saya masih belum terlalu teruk.
‘’Saya masih menjaringkan gol. Jika saya tidak dapat menjaringkan gol, akan ada rakan sepasukan yang melakukannya. Misi kami adalah mara ke pusingan seterusnya, bukannya memastikan saya yang menjaringkan gol,’’ katanya.
Ronaldo kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dengan 146 gol di peringkat antarabangsa.
Secara keseluruhan, beliau kini telah menjaringkan 976 gol bersama kelab dan negara, hanya berbaki 24 gol lagi untuk mencapai sasaran bersejarah 1,000 gol sepanjang karier.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu turut melahirkan rasa bangga kerana masih mampu bersaing di peringkat tertinggi pada usia 41 tahun, sambil mengakui persoalan mengenai persaraannya bukan sesuatu yang baharu.
“Ia sudah berlaku sejak saya berusia 18 tahun dan ia tidak akan berubah. Saya sentiasa memberikan jiwa dan raga untuk membantu pasukan mencapai matlamat kami. Sama ada bermain atau tidak, saya tetap mempunyai peranan penting.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan berhenti apabila saya sendiri membuat keputusan, bukan apabila orang lain yang menentukannya. Kamu sentiasa bertanya soalan yang sama. Saya tidak mahu memberi tumpuan kepada perkara itu kerana ia bukan perkara paling penting.
“Orang mempersoalkan saya masih bermain pada usia 41 tahun? Selama 23 tahun kamu cuba ‘membunuh’ saya dengan kritikan. Tetapi kamu pasti sudah sedar ia tidak berbaloi. Ia hanya membuang masa, namun kamu tetap mencuba berulang kali. Saya sudah biasa dengan semua itu.
“Saya juga berterima kasih atas segala kritikan yang saya terima selepas berusia 40 tahun. Kritikan membantu seseorang berkembang, jadi terima kasih.
“Saya tidak akan menjadi lebih atau kurang Cristiano Ronaldo hanya kerana saya memenangi Piala Dunia. Usia memberikan kematangan dan pengalaman untuk melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih luas.”
Menjelang aksi menentang Sepanyol, rekod turut memihak kepada Ronaldo. Sejak penampilan pertamanya menentang negara jiran itu di Euro 2004, beliau telah menjaringkan empat gol ke atas Sepanyol dalam semua pertandingan, jumlah yang menyamai rekod Eduardo Vargas sebagai penjaring terbanyak menentang skuad La Roja.
Antara detik paling diingati ialah hatrik yang dihasilkannya ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala Dunia 2018.
Portugal dan Sepanyol telah bertemu sebanyak lima kali di kejohanan utama (Piala Dunia dan Kejohanan Eropah), dengan tiga daripadanya berakhir seri, manakala masing-masing mencatat satu kemenangan.
Pertemuan terakhir di peringkat kalah mati berlaku pada separuh akhir Euro 2012, yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Portugal menerusi penentuan sepakan penalti.






