PRN Johor : PDRM kerah lebih 3,000 petugas sempena pengundian awal esok

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Johor menggerakkan seramai 3,565 pegawai, anggota dan pegawai awam bagi memastikan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok berlangsung dalam keadaan selamat, lancar dan terkawal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kekuatan itu membabitkan 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam yang akan melaksanakan pelbagai penugasan sepanjang proses pengundian awal.

Katanya, penugasan meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan terbabit.

“Proses pengundian awal akan membabitkan 64 pusat mengundi awal di seluruh Johor, terdiri daripada 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ab Rahaman berkata, bagi PRN Johor ke-16, seramai 12,710 pengundi awal daripada PDRM sudah berdaftar.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 12,067 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat mengundi awal esok, manakala 643 lagi akan mengundi menerusi kaedah undi pos.

Beliau berkata, PDRM Johor akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang proses pengundian awal serta baki tempoh pilihan raya kali ini.

Katanya, sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor ke-16 berlangsung dalam suasana aman, harmoni, selamat dan teratur.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img