PDRM tumpas rangkaian jenayah seksual kanak-kanak, 69 ditahan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan rangkaian jenayah seksual kanak-kanak susulan penahanan 69 individu menerusi operasi bersepadu Op Cyber Guardian yang dijalankan antara 6 hingga 8 April lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi rentas sempadan itu membabitkan kerjasama tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan dalam tempoh yang dipersetujui bersama bermula 23 Mac hingga 17 April lalu, dengan pelaksanaan serentak di Malaysia menyasarkan 101 individu di seluruh 14 kontinjen.

“Seramai 69 individu berusia antara 15 hingga 66 tahun berjaya ditahan, termasuk penjawat awam.

“Polis turut merampas 126 barang kes termasuk telefon pintar dan storan digital, dengan pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 498,690 fail digital, di mana 204,934 daripadanya adalah bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak kini semakin serius, kompleks dan merentas sempadan, malah tidak lagi bersifat individu semata-mata.

“Sebaliknya, aktiviti ini didapati mempunyai elemen tersusun dan bermotifkan keuntungan, termasuk penggunaan transaksi e-dompet dan kod QR untuk menawarkan akses kepada bahan secara berbayar,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga suspek yang bertindak sebagai pentadbir kumpulan dalam rangkaian berkenaan.

Katanya, PDRM komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik di peringkat domestik dan antarabangsa bagi membanteras jenayah terbabit.

“Sebanyak 67 kertas siasatan telah dibuka di bawah pelbagai peruntukan termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana individu dan kumpulan yang ditahan ini membentuk satu sindiket terancang,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah memperdagangkan maruah dan keselamatan kanak-kanak.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img