Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan atau ganjaran peribadi daripada pelaksanaan Program Jana Wibawa ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul berkata, sebaliknya secara tidak langsung Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ketika itu mempunyai kepentingan terhadap program berkenaan kerana beliau yang mencadangkan supaya Kementerian Kewangan mengkaji pelaksanaan program pembangunan Bumiputera itu.
“Saya mengesahkan saya tidak mendapat apa-apa keuntungan peribadi dan ganjaran dalam bentuk kewangan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin berkait program itu,” katanya.
Beliau yang kini Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri tampil sebagai saksi pendakwaan ke-11 dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Muhyiddin di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Menurut Tengku Zafrul, Program Jana Wibawa diwujudkan bagi merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera serta menggerakkan semula sektor pembinaan negara ketika negara berdepan krisis pandemik Covid-19.
Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.






