BEKAS Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-11 pada 6 Julai ini dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin selepas prosiding hari ini selesai dengan pihak pendakwaan mengemukakan pernyataan pembukaan serta keterangan seorang saksi formal.
Saksi terbabit ialah Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R Harshini yang tampil sebagai saksi pendakwaan ke-10.
Noor Ruwena turut berharap kes pendakwaan berkenaan dapat diselesaikan sebelum 14 September ini.
“Saya rasa Tan Sri juga nak kes ini selesai, kalau tidak nak bergerak pun susah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan terdapat 18 lagi saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, Muhyiddin, 79, hadir ke mahkamah dengan memakai sut merah tua dan kelihatan tenang di kandang tertuduh.
Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta serta beberapa pertuduhan menerima hasil aktiviti haram bernilai RM195 juta.


