SEORANG pembantu di Pejabat Perikanan Seremban maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan digilis sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Nilai pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.52 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Jelebu ke tempat kerja di Seremban.
Menurutnya, ketika melalui satu selekoh, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum mangsa terjatuh ke bawah sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 41 tahun.
“Pemandu treler dipercayai tidak sempat mengelak sebelum tayar belakang kenderaannya menggilis kepala mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Johari berkata, siasatan lanjut termasuk pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), ujian toksikologi terhadap sampel darah mangsa serta usaha mengesan saksi bebas sedang dijalankan.
“Lokasi kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.






