Pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC tertakluk undang-undang – MoF

Pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC tertakluk undang-undang

PENGECUALIAN cukai bagi Yayasan Pendidikan TARC tertakluk kepada pematuhan syarat di bawah undang-undang percukaian, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, selaras pengumuman Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, mulai 27 Nov 2025, kelulusan pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan bagi tempoh maksimum 10 tahun di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Namun, kelulusan tersebut bukan secara automatik, tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat di bawah undang-undang percukaian.

“Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan Yayasan Pendidikan TARC dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Malaysia,” kata MoF dalam kenyataan sambil menjelaskan dakwaan kerajaan mungkir janji pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC tidak benar.

Menurut MoF, semakan terhadap permohonan Yayasan Pendidikan TARC untuk melanjutkan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) selepas kelulusan sedia ada tamat pada 2025 mendapati ada beberapa syarat belum dipenuhi, termasuk pengukuhan tadbir urus dan pengurusan derma yang perlu diperbaiki.

“Mengambil kira peranan penting Yayasan Pendidikan TARC dalam sektor pendidikan, kerajaan mengambil pendekatan berhemah dengan memberi lanjutan pengecualian cukai sementara secara interim selama tiga tahun.

“Tempoh lanjutan ini memastikan kedudukan pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC kekal sementara tindakan pematuhan syarat dimuktamadkan.”

Kata kenyataan itu , MoF bersedia membantu memudah cara Yayasan Pendidikan TARC dalam usaha penambahbaikannya.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi, Yayasan Pendidikan TARC layak mendapat kelulusan pengecualian cukai bagi tempoh penuh 10 tahun, selaras pengumuman kerajaan.

“Justeru, isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan. Kerajaan kekal komited terhadap sokongan kepada pendidikan, termasuk peranan Yayasan Pendidikan TARC, namun semua kelulusan cukai mesti dibuat mengikut undang-undang, syarat pematuhan dan prinsip tatakelola yang baik.”



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img