SEORANG lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika mengalihkan baldi yang digunakan sebagai tanda amaran selepas selesai menukar tayar pancit di Kilometer 13.0 Lebuhraya Cheras-Kajang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang merupakan pemandu sebuah Toyota Innova berwarna perak disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas dilanggar sebuah lagi Toyota Innova berwarna merah yang kemudian melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 46 tahun bersama lima penumpang berhenti di lorong kiri lebuh raya selepas tayar kenderaannya pancit.
Menurutnya, selepas selesai menukar tayar, mangsa keluar ke bahagian belakang kenderaan untuk mengalihkan baldi yang diletakkan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya lain.
“Ketika mangsa mengalihkan baldi tersebut, sebuah Toyota Innova berwarna merah datang dari arah belakang lalu melanggarnya sebelum meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti memberikan bantuan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd. Zakria di talian 012-3268496.
Naazron turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta meningkatkan tahap kewaspadaan ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.





