SEORANG lelaki maut selepas dihempap gugusan buah sawit ketika mengambil upah memotong hasil tanaman itu di sebuah ladang di FELDA Bukit Goh, Kuantan, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialami selepas ditimpa buah sawit seberat kira-kira 15 kilogram dari ketinggian hampir 10 meter.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pemilik ladang pada jam 5.45 petang selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri.
“Sepasukan polis kemudian ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring di tepi pokok sawit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan keterangan saksi, mangsa bersama dua rakannya sedang mengambil upah memotong buah sawit di ladang berkenaan sebelum kejadian berlaku.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat.


