KEGIATAN pengedaran dadah di daerah Kudat terbongkar selepas polis menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri dalam beberapa serbuan berasingan semalam, dengan rampasan syabu seberat 161.49 gram bernilai kira-kira RM16,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di Kampung Tanjung Kapor.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 32 tahun.
“Hasil pemeriksaan terhadap seorang daripada suspek menemukan empat paket syabu seberat 60.54 gram yang disimpan di dalam sebuah beg.
“Rampasan itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi berasingan kira-kira jam 8 malam, polis menahan seorang wanita berusia 24 tahun di belakang Dewan Kampung Muhibbah.
Katanya, pemeriksaan ke atas wanita itu membawa kepada penemuan dua paket syabu seberat 100.95 gram.
“Penahanan wanita itu kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga suaminya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada malam sama.
“Turut disita sebuah kereta Perodua Myvi dan beberapa telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah itu,” katanya.
Alhusin berkata, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.






