Suami isteri maut, bertembung pikap dalam perjalanan ambil durian

PERJALANAN sepasang suami isteri bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut selepas kereta Proton Persona dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di Kilometer 18, Jalan Lipis-Benta berhampiran Estet Benta, di Lipis, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi, pemandu Proton Persona, Mohd. Khair Zainudin, 50, dan isterinya, Norzaili Khalil, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Raub sebelum kenderaan dinaiki bertembung dengan Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Persona itu bertembung dengan Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Mohd. Khair Zainudin, 50, dan isterinya, Norzaili Khalil, 49, yang merupakan penumpang hadapan. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, Toyota Hilux itu dinaiki dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40 dan 54 tahun yang dalam perjalanan dari Raub ke Gua Musang bagi mengambil muatan durian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img