SEORANG remaja lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah merakam jiran wanitanya yang sedang mandi tanpa pengetahuan mangsa sehingga mengaibkan kehormatannya.
Tertuduh, Muhamad Syafiq Hidayat Mohd. Syukur, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 19 tahun dengan merakam mangsa ketika sedang mandi menggunakan telefon bimbit tanpa pengetahuannya sehingga mengganggu kesantunan wanita itu.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kira-kira jam 5 petang pada 8 September 2025 di Batu 4, Batu Berendam, Melaka.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, ibu mangsa membuat laporan polis selepas mengetahui tertuduh merakam video anak perempuannya sehingga menyebabkan mangsa berasa takut dan tidak selamat.
Siasatan turut mendapati tertuduh yang juga jiran mangsa dipercayai telah beberapa kali melakukan perbuatan sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan denda RM300 dengan alasan perlu menanggung keluarga selepas ibu bapanya bercerai selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh telah mengaibkan kehormatan mangsa.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.






