Kakitangan syarikat air nafi perdaya dua wanita RM108,500

Seorang kakitangan syarikat bekalan air berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini selepas didakwa memperdayakan dua wanita sehingga mengalami kerugian keseluruhan RM108,500 menerusi dua kejadian berasingan sejak hujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rashid Sidek, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Norsalihah Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 38 tahun dengan memperdayakannya supaya membuat pembayaran berjumlah RM96,500.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu seorang lagi wanita berusia 34 tahun sehingga mendorong mangsa membuat pindahan wang sebanyak RM12,000 ke dalam akaun bank miliknya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Nada Embun dan Taman Nilam Sari dekat Seremban antara 30 Disember 2025 hingga 4 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Ideris dan J. G. Vesvanathan yang masing-masing menawarkan jaminan RM6,000 dan RM5,000.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ardelliza Izmaryanti Shafie dan Ng Yunn Yiing yang memohon jaminan minimum dengan alasan anak guam mereka berpendapatan RM4,000 sebulan serta perlu menyara isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 6 dan 12 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img