SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran kadar keluar mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mencapai 96 peratus.
Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun berkata sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan pencapaian peratusan keluar mengundi pada pilihan raya sebelum ini.
“Kalau ikut pada pencapaian kita sebelum ini, undi awal boleh mencapai sehingga 96 peratus dan kami mengekalkan unjuran tersebut,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Mahkota, Kluang , hari ini.
Mengulas perjalanan proses pengundian awal hari ini, Ramlan memaklumkan sebanyak 62 pusat mengundi awal telah dibuka di seluruh negeri sejak 8 pagi tadi.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 29 pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari tadi, lima pusat mengundi lagi ditutup pada 2 petang dan baki 28 akan ditutup pada 5 petang ini,” katanya.
Ramlan berkata pengundian awal hari ini melibatkan 20,607 pengundi yang terdiri daripada 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan (PGA) bersama pasangan.
Katanya, peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum penjumlahan dilakukan pada Sabtu ini dengan keputusan penuh dijangka diketahui seawal 10 malam.
“Kertas undi awal hanya akan dikira pada hari pengundian Sabtu ini bermula 5 petang. Kita menjangkakan keputusan penuh dapat diketahui sebelum tengah malam, malah berharap ia boleh diketahui seawal 10 malam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seramai 2.7 juta pemilih biasa yang layak supaya keluar melaksanakan tanggungjawab mereka secara beramai-ramai pada Sabtu ini.
“Ini peluang untuk kita sama-sama menyumbang kepada negara dalam sistem demokrasi yang kita pegang,” katanya.






