BN fokus pengundi atas pagar, fenomena `Onn tak Onn’ bukti jelas penerimaan – Asyraf Wajdi

BARISAN Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada usaha memenangi sokongan pengundi atas pagar pada minggu terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, strategi itu menjadi fokus utama jentera BN bagi memastikan setiap pengundi didekati sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

“Kita akan memfokus kepada pengundi atas pagar serta mereka yang dikatakan bukan pengundi kita.

“Kita hendak memastikan jangan ada satu pun yang terlepas… no stone unturned, maksudnya setiap pengundi tidak kira yang dianggap sebagai pengundi tegar pihak lawan, akhirnya hati mereka dipegang oleh Allah SWT.

“Yang penting, kita kena berusaha, memujuk dan menawarkan kepada mereka apa yang kita nak buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di Johor Bahru hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, semua jentera BN turut diingatkan supaya kekal berkempen secara berhemah dengan mengelakkan perbuatan memaki hamun atau menyebarkan fitnah.

“Saya sudah beritahu semua jentera supaya jaga akhlak dan adab. Jangan memaki hamun, jangan buat fitnah kerana pendekatan BN selama ini adalah berkempen secara berhemah,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, fenomena Onn tak Onn yang dilihat sepanjang kempen PRN Johor kali ini menjadi bukti penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor.

Menurut Asyraf Wajdi, fenomena itu juga menunjukkan isyarat bahawa rakyat sudah mengenali figura itu dan calon BN bukan hanya muncul dengan janji-janji ketika berkempen.

“Pergilah mana-mana pun fenomena Onn tak Onn ini sebenarnya fenomena yang real. Maknanya, orang tahu bahawa Menteri Besar dengan barisan Exco yang rata-ratanya dua pertiga adalah di bawah 45 tahun.

“Semangat kerjanya luar biasa kerana mereka menyantuni rakyat. Jadi, mereka bukan hari ini baharu datang masa kempen baharu nak turun baharu nak menabur janji, tak. Kempen kita mudah. Jangan janji, lihat bukti. Itu yang paling utama sekali,” jelas beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img