Bekas pekerja didakwa sorok stok sebenar minyak sawit mentah

SEORANG bekas pekerja Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan memperdayakan syarikat itu dengan menyembunyikan kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah di sebuah kilang milik anak syarikatnya di Indonesia, dua tahun lalu.

Tertuduh, T. R. Logeswaran, 39, yang kini bekerja sebagai pengurus kilang sawit di Afrika Selatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak jujur menyembunyikan kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah di Kilang Sawit Berau, Indonesia yang merupakan anak syarikat KLK.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengemukakan data pengeluaran minyak sawit mentah dalam Summary of Production and Despatch Record (SPDR) dan Finished Goods System (FGS) berjumlah 741.618 tan metrik dengan niat memperdayakan syarikat supaya menerima dan mengguna pakai rekod stok berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kuala Lumpur Kepong Berhad, Wisma Taiko antara 14 Mac hingga 21 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 berserta tiga syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, dijamin dua warganegara yang mempunyai alamat tetap di Perak serta melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Kiranjeet Kaur Sidhu yang mewakili tertuduh memohon supaya pasport anak guamnya tidak ditahan kerana bekerja di Afrika Selatan selain menanggung dua anak berusia lima dan dua tahun serta ibu bapanya yang uzur.

Menurutnya, tertuduh sanggup menerima jumlah jaminan yang lebih tinggi sekiranya mahkamah membenarkan pasportnya dikembalikan kerana dokumen itu penting untuk membolehkannya kembali bekerja.

Beliau turut memaklumkan tertuduh tidak dapat memenuhi syarat melapor diri setiap bulan kerana berada di luar negara, selain menegaskan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

Mahkamah turut menetapkan 6 Ogos bagi serahan dokumen kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img