Kes tikam Banting : Suspek beli pisau dalam talian, naik e-hailing

SUSPEK yang menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lalu dipercayai membeli pisau digunakan dalam serangan itu menerusi platform jualan dalam talian sebelum membawanya ke sekolah di dalam beg.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan mendapati suspek memasuki kawasan sekolah melalui pintu pagar yang ketika itu terbuka.

“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk datang ke sekolah pada hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mengulas dakwaan berlaku kelemahan aspek kawalan keselamatan sekolah, beliau berkata, perkara itu tidak boleh terus disimpulkan sebagai kecuaian pihak pengawal keselamatan.

“Tidak boleh dikatakan kelemahan pihak sekolah kerana kita perlu melihat kemungkinan pada waktu tersebut pintu pagar dibuka disebabkan terdapat kemasukan atau individu keluar.

“Apabila proses pintu pagar dibuka dan mungkin dalam proses hendak ditutup, suspek mengambil peluang memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Shazeli mengesahkan polis menerima maklumat bahawa suspek merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori autisme, namun perkara itu masih dalam siasatan lanjut bersama pihak berkaitan.

“Kita turut meneliti kemungkinan pengaruh media sosial terhadap pemikiran dan tingkah laku suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek tidak hadir ke sekolah sejak kira-kira lapan bulan lalu dan mengikuti pembelajaran di rumah atau homeschooling berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Suspek juga pernah terlibat dalam satu insiden terjatuh dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, remaja itu dipercayai mempunyai isu tekanan emosi dan kemurungan, namun punca sebenar masih dinilai pakar selain siasatan lanjut polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera di beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditikam suspek menggunakan sebilah pisau di kawasan sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi sebelum ini dilaporkan berkata, suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img