SUASANA di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agak berbeza malam ini…ramai yang berkumpul. Pada pukul 10.07 malam apabila pengumuman pesawat Emirates EH342 telah mendarat maka bergema takbir, selawat dan laungan ‘Free Palestine.’’
Pesawat itu bukan pesawat biasa tetapi di dalamnya terdapat 23 penumpang istimewa. Mereka ialah wira dan wirawati negara yang dipintas, dikepung, ditahan dan disiksa oleh tentera Zionis minggu lalu.
Ketibaan mereka yang turut dinantikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah disambut dengan pelukan dan air mata kesyukuran daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat andai.
Pelukan kegembiraan, air mata kesyukuran kerana diizinkan oleh Allah SWT untuk kembali menjejak kaki ke tanah air tercinta ini setelah air mata itu juga gugur ketika berusaha mempertahankan maruah sebagai seorang Islam semasa berada dalam tahanan tentera Israel.
Perjalanan mereka bukan mudah, pengorbanan mereka bukan kecil. Berada dalam tahanan rejim boleh disifatkan pertarungan antara hidup dan mati. Laungan ‘Free Palestin’, ‘Allahuakbar’ dan nyanyi lagu Barisan kita adalah penghormatan orang ramai yang menyambut kepulangan mereka.

Sambutan kepulangan pejuang-pejuang Palestin itu tidak berakhir malam ini, esok mereka akan diraikan dan akan dijulang secara rasmi wira dan wirawati negara di Himpinan Solidariti Bersama Gaza – Gelombang Malaysia Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil pukul 8 malam.
Mereka ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga) serta Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma).
Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius); Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno), PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).


