Anwar, Anutin setuju urusan imigresen, kastam Malaysia-Thailand dipermudah

MALAYSIA dan Thailand bersetuju untuk mempermudahkan urusan imigresen dan kastam kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta perdagangan dua hala dalam meneruskan pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan (Special Border Economic Zone).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Anutin Charnvirakul dalam lawatan rasmi beliau ke negara ini.

Menurut Anwar, sempadan dua negara terus diperkukuh dengan pembangunan laluan baharu antara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand yang akan dirasmikan esok.

“Kami telah mencapai beberapa persetujuan sebelum lawatan kami ke Bukit Kayu Hitam esok pagi.

“Lawatan ini juga unik. Tidak banyak lawatan seperti ini yang bukan sahaja di ibu negara, malah turut merangkumi kawasan pedalaman hingga ke sempadan. Ini mencerminkan komitmen peribadi beliau (Anutin) untuk terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media bersama hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurutnya, kedua-dua negara juga membincangkan beberapa projek bersama di kawasan sempadan, termasuk cadangan mempercepat pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok.

Ini termasuk cadangan awal untuk menghidupkan semula laluan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok.

“Kami turut membincangkan pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok yang cadangannya sedang berjalan. Kami mahu ia disiapkan dengan segera.

“Kami telah memulakan usaha itu sejak beberapa ketika dahulu dan ia merupakan perkembangan yang amat positif,” katanya.

Mengulas mengenai isu di sempadan Malaysia – Thailand, Anutin berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

“Sebuah pasukan kerja bersama akan ditubuhkan bagi menyelaras cabaran keselamatan di sepanjang Sungai Golok. Selain itu, kami juga bersetuju untuk memperkukuh penyelarasan antara pihak berkuasa yang berkaitan bagi meningkatkan pemantauan paras air serta memperkukuh langkah pencegahan banjir di Lembangan Sungai Golok.” katanya.

Pekara itu katanya, sebagai komitmen Malaysia dan Thailand untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang tahun hadapan.

Untuk rekod, pada 2025 Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak USD27.73 bilion.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img