MALAYSIA dan Thailand mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu tertunggak dalam sektor perikanan, terutama berhubung akses pasaran, dengan mempercepatkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dalam tempoh seminggu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai hasil komitmen kedua-dua menteri bertanggungjawab dalam sektor berkenaan bagi memastikan penyelesaian isu terbabit dapat dilaksanakan tanpa berlengah.
“Kami sudah menyelesaikan isu tertunggak berkaitan perikanan. Kedua-dua menteri (sektor berkaitan) memberikan komitmen. Pada asalnya, mahu memorandum (MoU) itu berkuat kuasa dalam tempoh satu bulan setengah tetapi kami (Perdana Menteri Malaysia dan Thailand) bersetuju ia dilaksanakan dalam tempoh seminggu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sempena lawatan rasmi dua hari rakan sejawatnya itu ke Malaysia, bermula hari ini.
Pada sidang media sama, Anutin berkata, Thailand menyokong penuh usaha memperkukuhkan rantaian nilai dan bekalan serantau dengan memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi ekonomi kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia dan Thailand akan memberi tumpuan kepada kerjasama dalam aspek keselamatan makanan, keselamatan tenaga serta ekonomi digital, termasuk pembangunan industri berteknologi tinggi.
“Dalam aspek keselamatan makanan, kami mengalu-alukan pertemuan antara Menteri Pertanian kedua-dua negara bagi mencari penyelesaian secara muafakat.
“Malah sebentar tadi, kami berjaya memuktamadkan penyelesaian kepada isu-isu tertunggak berkaitan akses pasaran bagi produk perikanan dan pertanian,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi serta memastikan kelancaran perdagangan produk pertanian dan perikanan demi manfaat bersama.
Terdahulu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan pertukaran MoU antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Jungrungreangkit.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa MoU terbabit menyediakan kerangka kerjasama menyeluruh dalam pelbagai bidang strategik.
Antaranya adalah sektor tanaman, ternakan, perikanan, fasiliti perdagangan dan pemasaran produk pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan kapasiti serta biosekuriti.
Melalui kerangka kerjasama itu, kedua-dua negara dijangka dapat memperkukuhkan mekanisme komunikasi dan penyelarasan antara pihak berkuasa secara lebih tersusun, terbuka serta berterusan.
Pada 1 Jun lalu, Malaysia memperketatkan kawalan import produk perikanan dari Thailand, melalui penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis (CoA) bagi ikan siakap, selain mengenakan sekatan sementara terhadap lima spesies udang.
Sekatan sementara itu membabitkan spesies Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang kaki merah/putih), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).






