PERDANA Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesawat khas yang membawa Anutin dan isteri, Thananon Charnvirakul selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 11.11 pagi.

Ketibaan kedua-dua mereka disambut Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga menteri pengiring sepanjang lawatan itu, lapor Bernama.
Sejurus tiba, Anutin memeriksa barisan kawalan kehormatan yang dianggotai 34 anggota dan pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Ranjer Diraja, diketuai Mejar Nur Addeen Mustaza.
Ini adalah lawatan pertama Anutin ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mac 2026. Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara dan mempererat kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Anutin dijadual mengadakan mesyuarat dengan Anwar di Perdana Putra, dan kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Thailand.
Kedua-dua pemimpin akan turut menyaksikan majlis penandatanganan dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian, yang mencerminkan komitmen Malaysia-Thailand untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor berkenaan.
Anwar juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan Anutin dan delegasinya di Kompleks Seri Perdana.
Esok, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan lawatan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah, bagi menyempurnakan majlis perasmian pembukaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
Pada 2025, Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah RM118.57 bilion (AS$27.73 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand berjumlah RM31.33 bilion (AS$7.90 bilion), berbanding RM27.35 bilion (AS$6.15 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2025.






