PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Thailand Anutin Charnvirakul dan menyatakan komitmen untuk memperhebat kerjasama termasuk pembangunan sempadan, keselamatan tenaga, jaringan rel serta logistik.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata, pertemuan dengan Anutin berlangsung dalam semangat persahabatan dan kesepakatan yang kian utuh antara Malaysia serta Thailand.

“Dalam semangat kejiranan yang akrab, Malaysia dan Thailand akan terus memperhebat kerjasama melibatkan pembangunan sempadan, jaringan rel, logistik, keselamatan tenaga, mitigasi banjir serta hubungan rakyat ke rakyat,” katanya.
Kedua-dua Perdana Menteri mengadakan pertemuan itu pada sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina yang berakhir hari ini.
Menurut Anwar, keakraban itu bukan sekadar meneruskan legasi persahabatan yang telah lama terbina tetapi juga menjadi asas penting dalam menyemarak masa depan rantau yang lebih aman, makmur dan berdaya tahan.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, mereka turut menzahirkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala termasuk mempercepat sasaran perdagangan USD30 bilion menjelang 2027 dan memperluas kesalinghubungan rentas sempadan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Kami juga menegaskan bahawa segala pertikaian mesti dileraikan secara damai berlandaskan undang-undang antarabangsa, di samping mempertahankan kesatuan ASEAN sebagai wahana keamanan dan kestabilan serantau.
“Malaysia kekal komited mendukung diplomasi, dialog dan prinsip yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kepentingan bersama,” katanya.


