Libat urus jalan terbaik selesai krisis Myanmar – PM

MALAYSIA menyifatkan penyelesaian terbaik terhadap krisis berpanjangan di Myanmar adalah menerusi libat urus yang berkesan, di samping memberi ruang kepada rakyat negara itu menentukan sendiri masa depan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Thailand sebagai negara jiran dan sahabat rapat Myanmar mampu memainkan peranan penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan di negara itu.

“Malaysia berpandangan bahawa cara terbaik untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama ini ialah melalui libat urus yang berkesan serta membenarkan rakyat Myanmar menentukan sendiri masa depan mereka.

“Thailand sebagai rakan dan jiran penting kepada Myanmar boleh memainkan peranan yang amat signifikan,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, hari ini, lapor Buletin TV3.

Anwar turut menghargai inisiatif Menteri Luar Thailand yang mengundang semua Menteri Luar ASEAN bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkembangan di Myanmar.

Beliau berkata, pertemuan itu penting bagi membolehkan pandangan daripada pelbagai pihak didengar, termasuk Menteri Luar Myanmar yang baharu.

Sementara itu, Anutin menghargai pendirian Malaysia yang kekal tegas menolak sebarang bentuk keganasan.

“Saya menghargai jaminan tegas Perdana Menteri Anwar bahawa Malaysia tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan keganasan dan akan terus bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Anutin tiba di Malaysia hari ini bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar.

Pesawat khas yang membawa Anutin bersama isterinya, Thananon Charnvirakul, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 11.11 pagi tadi.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Anutin ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri Thailand pada Mac lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img