PERDANA Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mendoakan kejayaan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung Sabtu ini.
“Saya mengucapkan kepada anda (Anwar) selamat maju jaya pada Pilihan Raya di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengakhiri sidang media bersama sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia, bermula hari ini.
Terdahulu, Anwar menyifatkan pertemuan dua hala bersama Anutin berlangsung dalam suasana mesra dan penuh kepercayaan, sekali gus membolehkan pelbagai isu antara kedua-dua negara diselesaikan dengan lebih pantas.
“Datanglah lagi ke Malaysia kerana kehadiran anda membuatkan kami berasa begitu selesa, gembira dan tenang.
“Mesyuarat seperti ini ibarat pertemuan antara sahabat lama.
“Kalau ada masalah, kita selesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Perkara seperti ini tidak berlaku di kebanyakan negara,” katanya, lapor Buletin TV3.
Anutin tiba di Malaysia hari ini bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri Thailand pada Mac lalu dan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama.






