SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sebanyak 33 individu termasuk 10 pegawai penguat kuasa selepas menyerbu beberapa lokasi di empat negeri kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dokumentasi dan pas lawatan sosial warga asing.
Operasi bersepadu yang dijalankan itu melibatkan Bahagian Perisikan SPRM dan SPRM empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (Op Layer), Selangor (Op Dalang), Negeri Sembilan (Op Raider) dan Melaka (Op Genuine).

Kesemua suspek termasuk 25 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50-an itu ditahan antara pukul 10 pagi hingga 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM tersebut.
Kesemua 10 pegawai penguat kuasa itu dipercayai terbabit menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika mengesahkan perkara itu memberitahu, kesemua kes disiasat di bawah beberapa kesalahan, antaranya Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut.

Sementara itu menurut sumber, penahanan 33 individu itu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing.
Katanya, semua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen yang membabitkan warga asing seperti berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
“Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2026 dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Bagi 10 pegawai penguat kuasa pula, semuanya dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan juga mengeluarkan visa, pas dan permit tanpa melalui prosedur yang ditetapkan,” kata sumber itu.
Sumber itu memberitahu, terdapat kesalahan lain yang dilakukan seperti mengemukakan dokumen mengandungi butir material palsu bagi permohonan dan mendapatkan kuota pekerja asing.
Selain itu kata sumber, risikan yang dijalankan sejak Jun tahun lalu juga menyasarkan seramai 43 individu di keempat-empat negeri yang dikaitkan dengan warga asing.
Malah, melalui operasi itu juga SPRM sebenarnya sudah menahan seramai 38 individu, bagaimanapun lima lagi dibebaskan dengan jaminan.






