Bersatu Perlis susun semula tiga bahagian selepas jawatankuasa ‘beralih arah’

BERSATU Perlis akan menyusun semula organisasi parti di ketiga-tiga bahagiannya selepas jawatankuasa di peringkat berkenaan didakwa sudah `beralih arah’.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah itu memerlukan sedikit masa, namun beliau yakin parti berkenaan mampu dipulihkan.

“Dalam keadaan hari ini, banyak juga jawatankuasa di peringkat ketiga-tiga bahagian sudah beralih arah.

“Jadi atas tanggungjawab tersebut, saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk kita susun semula ketiga-tiga bahagian.

“Atas kapasiti sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis, saya yakin Bersatu akan dipulihkan, cuma kita kena ambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Bangunan Konkos di Kangar hari ini, lapor Buletin TV3.

Bersatu mempunyai tiga bahagian di Perlis iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

Perkembangan itu dipercayai menyusul selepas Setiausaha Bersatu Perlis merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Azahar Hassan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Azahar turut melepaskan semua jawatan dalam parti, namun akan meneruskan tugas sebagai Ahli Dewan Negara atas tanggungjawab kepada rakyat Perlis.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan panjang, penelitian serta muhasabah terhadap perkembangan semasa.

Terdahulu, Abu Bakar yang juga Menteri Besar Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Datin Marzita Mansor melepaskan jawatan masing-masing sebagai Ahli MPT Bersatu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img